Mana Satu Lebih Baik, Isi Minyak Petrol Tangki Penuh atau Separuh?

MANA satu yang lebih baik, nak isi minyak petrol hingga tangki penuh atau separuh tangki? Jom lihat mana satu yang sesuai diamalkan.

TANGKI PENUH

Ramai pemandu kereta lebih suka buat isian petrol tangki penuh. Ada dua kebaikan iaitu bekalan petrol tahan lebih lama dan jimat masa.

Berapa lama bekalan petrol boleh bertahan dalam tangki minyak bergantung kepada cara anda memandu, tahap kecekapan penggunaan petrol kereta, saiz tangki minyak dan jarak setiap perjalanan.

Kebaikan kedua ialah mengisi tangki minyak penuh ini membantu anda menjimatkan masa dan kurang berkunjung ke stesen minyak.

Cara ini ada juga kekurangan dan tidak sesuai untuk semua pemandu. Pertama, perlu berbelanja besar jika kereta ada memiliki tangki minyak besar.

Contohnya:

  • Perodua Alza (2022) menggunakan tangki petrol berkapasiti 43 liter. Isian penuh dari tangki kosong dianggarkan sebanyak RM88.15 jika guna RON95 dengan harga RM2.05 seliter.
  • Proton Exora pula memiliki tangki minyak sebesar 55 liter dan kos isian penuh ialah RM112.75 jika memilih RON95 berharga RM2.05 seliter.

Peringatan: Isian penuh biasanya tidak mencecah kos seperti di atas melainkan tangki minyak betul-betul kering.

Kekurangan kedua ialah lebih banyak isian petrol atau diesel, kenderaan anda jadi berat. Satu liter petrol ialah seberat 0.79kg (anggaran) manakala diesel seliter pula seberat 0.84kg.

Jika Perodua Alza diisi petrol hingga penuh iaitu berkapasiti 55 liter dalam tangki minyak, berat bahan api itu kira-kira 34kg. Untuk Proton Exora, berat minyak petrol penuh pula 43kg.

Kenderaan yang isi minyak hingga tangki penuh akan jadi lebih berat dan mungkin memerlukan penggunaan petrol atau diesel lebih banyak semasa pemanduan. Ini boleh menjejaskan purata penggunaan bahan api setiap liter.

SEPARUH TANGKI

Pilihan isian ini juga ada kelebihan dan kekurangannya. Cara isian separuh tangki minyak ini sesuai untuk mereka yang ada bajet terhad untuk tujuan perjalanan setiap bulan atau harian.

Kelebihan cara ini memudahkan anda ketahui jumlah perbelanjaan untuk petrol atau diesel pada satu-satu masa. Anda juga boleh ketahui anggaran jarak perjalanan untuk setiap isian dibuat.

Kekurangan pertama ialah anda perlu kerap berkunjung ke stesen minyak dan lebih banyak menghabiskan masa di situ. Tetapi, masa untuk mengisi petrol atau diesel bukannya lama. Cuma perlu tunggu lama sedikit jika ramai beratur untuk membuat isian semula petrol atau diesel di sesebuah stesen minyak.

Kelebihan kedua ialah isian separuh tangki membantu aspek nisbah kuasa dan berat kenderaan. Ini boleh dilihat pada aspek kecekapan penggunaan petrol yang lebih baik. Perbezaanya tak besar mana pun, cuma 1 atau 2 peratus.

BACA: Boleh ke Isi Petrol Tanpa Matikan Enjin Kereta?

ISIAN PENUH DAN SEPARUH

Ada lagi satu cara isian untuk menikmati manfaat penuh dua pilihan di atas iaitu gabungkan kedua-duanya sekali.

Setakat ini, harga petrol RON95 dan diesel tidak mencatat sebarang perubahan harga disebabkan ada insentif subsidi dari Kerajaan.

RON95 masih berharga RM2.05 seliter manakala diesel RM2.15 setiap liter. Harga yang berubah cuma RON97 dan petrol premium lain.

Sebelum ini, semasa harga RON95 diapungkan, ramai pemilik kenderaan akan segera membuat isian tangki penuh petrol apabila dimaklumkan harga semasa akan naik keesokan hari.

Apabila harga petrol naik, isian dibuat mungkin sekadar separuh atau suku kapasiti tangki minyak. Aspek sejauh mana bekalan petrol mampu bertahan bergantung kepada cara pemanduan dan jarak perjalanan.

Ini adalah senario gabungan dua situasi di atas. Konsepnya, isi penuh bila harga rendah, isi separuh jika harga naik.

One thought on “Mana Satu Lebih Baik, Isi Minyak Petrol Tangki Penuh atau Separuh?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *