Honda hasilkan 400 juta motosikal dalam 70 tahun

400 juta motosikal dalam masa 70 tahun. Inilah rekod terbaru Honda, suatu pencapaian luar biasa di seluruh dunia.

Syarikat Honda ditubuhkan pada 1948. Selepas setahun, mereka mencipta motosikal pertama Honda iaitu Dream D-Type.

Honda mula mengeluarkan motosikal dalam kuantiti besar-besaran menerusi kilang di Belgium pada 1963.

Kilang Belgium ini ialah pusat penghasilan motosikal Honda yang pertama di luar Jepun. Hari ini, Honda sudah ada produk motosikal atau skuter dalam segmen 50cc hingga 1,800cc.

Motosikal kapcai atau Honda Super Cub ialah model paling laris dan diterima baik dunia khususnya di negara-negara Asia Tenggara.

Di Malaysia, model kapcai Honda yang popular sudah semestinya C50, C60, C70, C90, Fame, Hurricane dan Honda EX-5 sebelum lahirnya zaman Wave 100 dan 125.

“Selama 70 tahun, Honda menawarkan motosikal kepada konsumer di dunia dan memudahkan kehidupan selain mendatangkan keseronokan.

“Kami sudah capai rekod jualan 400 juta motosikal. Saya berterima kasih kepada pelanggan dan semua terlibat dalam pembangunan, penghasilan, jualan dan servis.”

Ketua Pegawai Eksekutif Honda Motor Co. Ltd, Takahiro Hachigo

Ringkasan sejarah perjalanan Honda
1948 Honda Motor Co., Ltd. ditubuhkan
1949 Honda memperkenalkan motosikal pertama – Dream D-Type
1958 Honda melancarkan Super Cub pertama – Super Cub C100
1963 Honda mulakan pengeluaran motosikal di Belgium
1967 Honda mulakan pengeluaran motosikal di Thailand
1968 Honda capai pengeluaran motosikal 10 juta unit (global)
1971 Honda mulakan pengeluaran motosikal di Indonesia
1976 Honda mulakan pengeluaran motosikal di Brazil dan Itali
1979 Honda mulakan pengeluaran motosikal di Amerika Utara
1980 Honda mulakan pengeluaran motosikal di Nigeria
1984 Honda capai pengeluran motosikal 50 juta unit (global)
1992 Honda mulakan pengeluaran motosikal di China
1997 Honda mulakan pengeluaran motosikal di Vietnam
1997 Honda capai pengeluaran ke-100 juta unit motosikal (global)
2001 Honda mulakan pengeluaran motosikal di India
2004 Honda capai pengeluaran lebih 10 juta motosikal setahun
2008 Honda keluarkan motosikal ke-200 juta (global)
2013 Honda mulakan pengeluaran motosikal di Bangladesh
2014 Honda capai pengeluaran terkumpul 300 juta unit (global)
2018 Honda hasilkan lebih 20 juta motosikal dalam setahun
2019 Honda capai pengeluaran terkumpul 400 juta motosikal (global)



Leave a Reply