Yamaha Indonesia lancarkan skuter Nmax edisi 2020

Yamaha Indonesia memperbaharui saingan dalam segmen skuter dengan memperkenalkan model Yamaha Nmax serba baharu edisi 2020.

Skuter ini nampaknya menerima beberapa ciri baharu menarik dan ditambah baik untuk meningkatkan prestasi serta keselesaan tunggangan.

Apa yang paling nyata ialah perubahan pada set lampu hadapan dan belakang, menggunakan lampu LED. Rekaannya kelihatan seperti meminjam gaya abangnya, Yamaha Xmax.

Skuter Yamaha ini juga mempunyai lampu DRL pada lampu utama bahagian hadapan. Selain itu, untuk membantu penunggang memintas kenderaan lain dengan lebih selamat, skuter baharu ini dilengkapi ciri pengelip lampu tinggi.

Ciri pengelip lampu tinggi seperti ini lazimnya ditawarkan pada model motosikal berkuasa tinggi. Ia terletak pada konsol kawalan kiri bar hendal.

Selain itu, Yamaha meningkatkan keselamatan Nmax dengan melengkapkannya bersama suiz lampu amaran kecemasan. Ini dipasang pada bahagian kanan bar hendal. Apabila punat ditekan, kedua-dua lampu signal akan berkedip secara serentak.

Yamaha Nmax masih menggunakan enjin satu silinder 155cc dengan teknologi Blue Core tetapi dengan tambahan ciri Variable Valve Actuation. Ini membolehkan skuter Yamaha membekalkan kuasa tarikan tork pada julat pusingan enjin yang lebih luas.

Nmax mampu menjana kuasa 15.4PS pada 8,000rpm dan tork 13.9Nm pada 6,500rpm. Prestasinya sama seperti model sebelumnya. Transmisinya sudah pasti jenis automatik.

Sistem brek masih membabitkan jenis cakera dan kedua-duanya disambungkan kepada teknologi sistem brek antikunci (ABS).

Lebih menarik, Nmax kini didatangkan dengan ciri kawalan cengkaman. Satu lagi pembaharuan untuk meningkatkan keselamatan penunggang Nmax. Teknologi ini secara automatik akan mengaktifkan brek jika mendapati ada gelinciran tayar berlaku.

Fungsi Stop & Start enjin untuk menjimatkan penggunaan minyak ada pada Nmax, sama seperti ciri pada skuter Honda PCX. Atau mungkin lebih hebat?

Ciri ini akan mematikan enjin skuter semasa ia berhenti di lampu isyarat atau ketika dalam keadaan pegun. Enjin akan hidup semula sebaik sahaja penunggang memulas throtel.

Yamaha mengambil maklum mengenai sistem suspensi asal belakang yang didakwa tidak menawarkan keselesaan diharapkan dan menggantikannya dengan set absober berkembar baharu.

Instrumen meter digital menunjukkan maklumat penting termasuk kelajuan semasa, dua trip perjalanan, purata penggunaan bahan api dan juga suhu enjin.

Yamaha Nmax edisi 2020 ini menggunakan sistem kemasukan tanpa kunci dan anda boleh menyambung telefon untuk dicas semula pada skuter ini. Sambungan soket ada pada bahagian kiri skuter, bawah hendal.

Nmax ada sambungan Bluetooth untuk menghubung skuter anda dengan aplikasi Yamaha. Ini membolehkan anda terima notifikasi mengenai pemanggil dan kiriman mesej, tempat parkir, penggunaan bahan api serta apa yang perlu diservis di Yamaha.

Ada dua pilihan varian Yamaha Nmax ditawarkan di Indonesia iaitu satu dengan ciri ABS dan Kawalan Cengkaman dan satu lagi pula ialah Nmax tanpa sistem ABS.

Leave a Reply