Jangan cuci karburator guna minyak petrol atau diesel

Setiap kali berkunjung ke kedai motosikal untuk servis tukar minyak hitam dan palam pencucuh (spark plug), sebahagian besar pemilik kapcai turut meminta karburator motosikal mereka dicuci.

Ini lebih tertumpu kepada pemilik motosikal kapcai dan bukannya motosikal yang didatangkan dengan teknologi atau komponen sistem pancitan bahan api.

Malah karburator yang kotor juga antara penyebab utama motosikal anda kurang kuasa pikap atau berasa berat walaupun therotal diperah sehingga habis.

Adakalanya kekotoran dalam karburator menyebabkan enjin gagal dihidupkan. Ini sebabnya anda perlu servis karburator secara berkala sama ada secara sendiri atau hantar ke kedai motosikal.

Bagaimanapun, rata-rata pemilik motosikal atau bengkel memilih untuk mencuci komponen karburator dengan bayaran tertentu dan menggunakan minyak petrol yang disedut dari tangki minyak anda.

Untuk mencuci, komponen karburator akan ditanggalkan satu persatu termasuk pelampung, getah penebat, main jet dan pilot jet yang akan direndam dalam bekas berisi petrol.

Selepas direndam seketika, berus digunakan untuk membersihkan setiap komponen kecil dalam karburator sebelum pam angin digunakan untuk mengeringkan cecair petrol.

Sebenarnya, kaedah ini adalah dikatakan kurang bersesuaian dan anda tidak disarankan untuk mencuci karburator menggunakan minyak petrol atau diesel.

Sebabnya, minyak petrol boleh menyebabkan gegelung getah pada karburator mengembang dan mudah koyak, memendekkan jangka hayat asal yang akan merosakkan pada karburator itu sendiri.

Cara sebenar untuk servis atau cuci karburator adalah dengan menggunakan bendalir atau produk pencuci injektor. Ada banyak produk pencuci karburator atau injektor dalam pasaran.

Pencuci karburator atau injektor motosikal boleh membersihkan kotoran, karbon atau kesan getah. Ini akan menjamin motosikal anda lebih lancar dengan prestasi lebih konsisten berbanding cucian petrol.

Bendalir ini menanggalkan kotoran dalam saluran masuk bahan api dan udara, injap, kebuk pembakaran dan juga ekzos. Ada beberapa pencuci berkualiti membolehkan pembersihan dilakukan dari dalam karburator itu sendiri.

Cumanya, adakah anda sanggup berbelanja untuk membeli pencuci karburator atau injektor motosikal berbanding menggunakan minyak petrol?

Leave a Reply