HLYM lancar edisi terhad Yamaha Lagenda 115Z GP

Sebelum ini, ramai peminat akan menanti model motosikal edisi terhad baharu yang akan dilancarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sempena musim perlumbaan MotoGP.

Antara model yang pernah diserap sebagai edisi terhad bertemakan pasukan perlumbaan Yamaha MotoGP ialah Yamaha YZF-R15, Y125ZR, Y15ZR, YZF-R25 dan 135LC.

Sebelum melabuhkan tirai 2019, HLYM mengumumkan satu lagi model edisi terhad iaitu Yamaha Lagenda 115Z GP berwarna hitam hijau Petronas.

Lagenda 115Z GP ini sebenarnya adalah untuk memperingati pasukan MotoGP pertama Malaysia iaitu PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (SRT).

Tona warna hitam dan hijau Petronas itu juga ada paparan grafik penaja pasukan lumba, antaranya Racing Boy.

Model edisi terhad ini diinspirasikan daripada Yamaha YZR-M1, kuda tunggangan dua pelumba PETRONAS Yamaha SRT iaitu Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo musim 2019.

Beralih kepada soal mekanikal enjin, nampaknya model edisi terhad ini tidak ada perbezaan atau talaan baharu. Sama dengan model standard Lagenda 115Z.

Lagenda 115Z GP Edisi Terhad ini dijana enjin satu silinder 113.7cc bersama teknologi suntikan bahan api. Kotak gear pula adalah 4 kelajuan. Enjin ini boleh bantu hasilkan kuasa 9.9hp @ 7,750rpm dan tork 9.9Nm @ 6,500rpm.

Kapcai ini menggunakan brek cakera tunggal di roda hadapan dan brek dram (belakang) untuk mempelahankan dan memberhentikan motosikal.Saiz tangki minyak adalah sebesar 4.1 liter.

Mereka yang membeli model edisi terhad ini akan diberikan sijil pemilikan eksklusif daripada HLYM. Jualan akan bermula pada pertengahan bulan ini. Harganya ialah RM5,580 setiap satu.

Leave a Reply