Van guna enjin Porsche 911 Turbo, 285km/j!

Sebelum ini kita melihat van sebagai kenderaan komersial. Van digunakan oleh banyak syarikat kurier barangan, ada juga dijadikan van sekolah dan tidak lupa juga jasa van kepada peniaga-peniaga pasar malam.

Tetapi, van tidak semestinya menjadi kenderaan yang bosan. Semuanya bergantung kepada kreativiti anda.

Contohnya, Volkswagen T5 Multivan ini. Apa yang menarik ialah van ini menggunakan enjin 6 silinder sebaris 3.6 liter daripada sebuah kereta lumba Porsche 911 Turbo (997).

Van yang diberi nama TH2.997 dihasilkan oleh syarikat TH Automobile di Berlin, Jerman. Van ini boleh pecut hingga 285km/j!

Enjin Porsche ini boleh menghasilkan 580hp dengan bantuan turbo daripada model 911 GT2. Sebenarnya, kuasa ini boleh dinaikkan hingga 800hp jika mahu.

Van TH2.997 dipasang kotak gear 6 kelajuan manual Porsche yang menghantar kuasa ke roda belakang. Gandar pada van ini juga datangnya dari Porsche.

Jika mahu sistem pacuan semua roda, anda perlu membeli sebuah van baharu dan syarikat TH Automobile boleh tunaikannya.

Dalam kabin, nampaknya ada kombinasi beberapa barangan daripada 911 pada papan pemuka asal van. Antaranya, stereng, konsol tengah dan juga instrumen meter.

Sistem brek digunakan ialah jenis Brembo 370mm 6 piston di roda depan dan 365mm 4 piston pada roda belakang. Rim aloi ringan digunakan ialah binaan kustom dan berukuran 10×19 inci dan 8.5×19 inci. Pilihan profil tayar ialah 285/40 dan 245/40.

Suspensi semestinya jenis sport dan van ini ada 6 tempat duduk bersama perehat tangan. Barisan kerusi hadapan daripadanay daripada Porsche.

Kapasiti tangki minyaknya ialah 100 liter. Van ini ada banyak ciri teknologi moden seperti tetingkap kuasa, lampu bi-xenon hadapan, central locking, bluetooth, kamera undur, sambungan iPod dan iPhone, kawalan suhu automatik, Apple CarPlay dan Android Auto.

Harga untuk menyiapkan sebuah van baharu seperti ini ialah €250,000 (RM1.2 juta) dan jika anda mahu beli van ini, harga cuma €139,800 (RM672,160).

Sumber: car-special.de

Leave a Reply