Tips – Isi angin atau gas nitrogen dalam tayar

Tekanan tayar adalah penting bagi sesebuah kereta. Kurang tekanan atau ada tekanan secara berlebihan akan beri kesan secara langsung pada tayar dan pemanduan anda.

Jika tidak diberi perhatian, ini boleh membebankan kewangan anda kemudian hari.

Untuk memastikan tekanan dalam tayar berada dalam keadaan optimum, anda kena kerap buat pemeriksaan asas sebelum memandu.

Ada yang bertanya, apa bezanya mengisi tayar dengan gas nitrogen berbanding angin biasa. Mari kita fahami terlebih dahulu apa itu udara.

Udara dalam bahasa mudah difahami mengandungi 78 peratus nitrogen, 21 peratus oksigen dan bakinya gas-gas lain seperti karbon dioksida, wap air, gas neon serta argon.

Secara jujur, memang gas nitrogen banyak beri manfaat jika diisi dalam tayar kenderaan. Mari kita kupas satu persatu.

Pertama, nitrogen kekal lebih lama di dalam tayar berbanding udara biasa. Ini kerana udara biasa mudah menyerap keluar dan tidak stabil jika dibandingkan gas nitrogen. Dalam jangka masa panjang, manfaat datangnya daripada gas nitrogen.

Gas nitrogen juga menjadikan suhu dalam tayar lebih stabil sekali gus mengurangkan kejadian perubahan tekanan sedia ada dalam tayar kenderaaan.

Apabila tekanan angin dalam tayar stabil, ia memberi kesan kepada penjimatan minyak petrol atau diesel semasa pemanduan. Penggunaan minyak lebih efisien.

Andai mengisi udara biasa dalam tayar, tekanan mudah berubah mengikut perubahan suhu di luar kereta. Antaranya, ketika cuaca panas, tayar menjadi lebih keras kerana peningkatan tekanan dari dalam tayar.

Suhu panas akan mengubah partikel air yang wujud dalam udara kepada bentuk wap. Ini turut mengubah tekanan udara dalam tayar dan terus meningkat.

Tahukah anda, partikel air dalam udara adalah dalang menyebabkan tayar kenderaan karat atau mereput dari dalam?

Semasa membuat pengisian gas nitrogen dalam tayar di kedai tayar, lazimnya mereka akan membuang keluar semua kandungan udara dan menggantikan dengan gas nitrogen. Ini sekali gus menyingkirkan keluar kewujudan wap air dalam tayar anda.

Persoalan kedua…. boleh saya buat isian semula udara biasa ke dalam tayar gas nitrogen? Jawapannya, boleh. Cuma anda tidak akan dapat prestasi seperti tayar dengan isian penug gas nitrogen.

Gas nitrogen ini ada kos. Anda mungkin dikenakan caj oleh pemilik kedai tayar untuk gas nitrogen. Jika berkemampuan, isi gas nitrogen. Jika berdepan kekangan kewangan, gunakan udara biasa di pam stesen minyak.

Namun, ini tidak bermaksud jika anda menggunakan gas nitrogen dalam tayar… anda tidak perlu memeriksa tekanan tayar. Anda tetap disaran untuk periksa tekanan tayar sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.

Leave a Reply