Nissan R32 Skyline GT-R V-Spec II ini belum dijual

Ada sebuah Nissan R32 Skyline GT-R V-Spec II tahun 1993 yang agak istimewa masih menunggu pembeli sejak diiklankan beberapa bulan lalu.

Ini didakwa bukan GT-R biasa tetapi salah satu daripada 1,306 unit yang dibina sejak pengenalannya pada 14 Februari 1994.

Keistimewaan kereta sport ini adalah jenis enjin di bawah hudnya. Nissan R32 Skyline ini dipasang enjin RB26DETT Nismo Fine Spec Final Edition keluaran Omori Factory.

Sebenarnya ada cuma 140 unit enjin ini daripada 200 buah yang dibina Omori Factory. Omori Factory ialah ibu pejabat global Nismo dan mereka terlibat dalam kerja-kerja binaan kereta yang menjuari perlumbaan bagi Nissan.

Omori Factory juga ada membina dan memasang enjin edisi terhad dengan menggunakan tangan, bukannya 100 peratus berasakan mesin.

Enjin R32 Skyline GT-R V-Spec II ini ada beza dengan enjin standard R32 . Malangnya, kuasa outputnya tidak didedahkan. Apa yang dinyatakan ialah enjin pada kereta ini ialah 2.6 liter 6 silinder dengan turbo berkembar.

Skyline ini sudah diubah suai dengan kabinnya menjadi Nismo N1, ada pam minyak baharu yang dikatakan jauh lebih baik berbanding model standard RB26. Tambahan lain ialah tali sawat pemasaan Nismo baharu.

Komponen pemancit bahan api daripada R35 GTR sudah dipasang pada enjin ini. Selain itu, gasket Nismo yang lebih tebal digunakan untuk mengelakkan kejadian kebocoran minyak. Tidak dilupakan ada penggunaan gegelung pencucuh R35 GTR dan Sensor R35 GTR MAF.

Kereta ini menggunakan sistem ekzos titanium penuh FGK. Kotak angin asal digantikan dengan dua unit SARD. Kotak gear kekal lima kelajuan manual dengan pacuan semua roda.

Suspensi kereta ini adalah jenis Ohlins Road and Track. Brek pula masih asli V-Spec II Brembo.

Ada beberapa naik taraf luaran dibuat termasuk lip hadapan gentian karbon, skirt sisi, lip sport bonet Hasemi, lip belakang dan rim Volk TE37 SL.

Kabin dikenakan material kulit hitam dengan sulaman benang merah. Sistem pendingin hawa dinaik taraf kepada R134A. Sebelum ini, kereta ini menggunakan jenis R12.

Jika mahu membeli, boleh berhubung dengan J-Spec Auto Sports. Harganya ialah AS$125,000 (anggaran RM524,000). Bagaimanapun, sila nilai betul-betul kereta ini. Mungkin ada perkara belum diketahui.

Sumber: https://jspecauto.com

Leave a Reply