Honda Civic Type R versi LEGO

Ramai juga pihak yang gemar membina produk replika kenderaan dengan saiz sebenar. Nampaknya ia sudah menjadi satu trend di serata tempat.

Antara ciptaan yang menarik ialah hasil kerja sembilan jurubina profesional yang menggunakan lebih 320,000 blok LEGO untuk membentuk Honda Civic Type R.

Projek ini bukannya mudah dan mengambil masa lebih 1,300 jam untuk disiapkan. Proses pemasangan blok kecil LEGO dilakukan dengan cermat dan ia boleh dilihat pada sistem brek cakera dan kaliper jenama Brembo.

Lebih menarik, replika kereta LEGO gergasi ini tidak tidak menggunakan mana-mana blok LEGO rekaan khas. Semua blok yang diguna pakai ialah jenis standard.

Kerja-kerja pemasangan dilakukan dari bahagian paling bawah dan lapisan demi lapisan dihasilkan hingga ke bahagian bumbung dan spoiler.

Semua blok telah digam dan diletakkan di atas satu rangka keluli tahan karat bagi menampung bebanan berat.

LEGO Civic Type R ini adalah seberat lebih 1,300kg iaitu dua kali ganda berbanding kereta sebenar.

Antara cabaran paling sukar ialah meniru pengelap cermin dan spoiler belakang.

Honda pernah mempamerkan LEGO Civic Type R di Australia.

SUMBER: HONDA

Leave a Reply