Fiat 500 Jolly – Impian pemandu santai

Firma pereka kereta kustom di Milan, Garage Italia sekali lagi mencuri tumpuan dunia dengan satu lagi projek restomod, kali ini membabitkan sebuah model Fiat 500 Jolly.

Restomod dalam bahasa mudah ialah restorasi kereta lama pada masa sama memasang teknologi terkini, komponen dan enjin moden.

Pasukan Garage Itali membina semula model Fiat 500 Jolly dan menyertakannya ke dalam barisan produk yang dipanggil sebagai Icon-e.

Fiat 500 Jolly ini adalah sebuah jentera elektrik tetapi menggunakan badan model klasik.

Mengikut rekod, ada sebanyak 500 unit Fiat 500 Jolly dibina oleh Ghia antara tahun 1957 dan 1974.

Sifat kereta ini lebih kepada pemanduan santai di tepi-tepi pekan kecil yang dikelilingi pantai luas.

Kereta dalam projek ini tidak ada bumbung dan tiada pintu. Cermin depan pula kelihatan rendah dengan tempat duduk seperti kerusi di kafe mewah.

Fiat 500 Jolly Icon-e ini ada diberikan sentuhan krom untuk menyerlahkan sifat klasik dengan badan berwarna biru cair.

Garage Italia memasang instrumen digital pada kereta ini. Tempat duduknya dicipta menggunakan tali kegunaan sukan outdoor.

Kuasa menggerakkan kereta kecil ini datang daripada motor elektrik yang disambung pada satu sistem transmisi. Garage Italia belum lagi menceritakan tentang output kuasa Jolly ini.

Masa untuk cas bateri ialah 4 hingga 8 jam dan dibuat melalui satu soket pengecas yang ada pada belakang logo Fiat. Logo ini ada di bahagian depan kereta.

SUMBER: GARAGE ITALIA

Leave a Reply